Friday, 29 July 2016

BERCAKAP DENGAN JIN

Synopsis 1 

Kerana sering mendampingi datuknya di mana-mana, secara senyap-senyap Tamar Jalis (TJ) mengutip dan menghimpun pengalaman, lalu diabadikan dalam Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) yang berjaya memukau ribuan pencinta kisah seram.

Kini, TJ muncul kembali bersama siri buku-buku SBDJ. Bukan hasrat TJ mengajak pembaca mempercayai perkara-perkara tahyul. Tetapi, sekelumit pengalaman bersama datuk meyakinkan, bahawa sesuatu yang tidak terjangkau oleh akal manusia akan berlaku sekiranya diizinkan oleh Allah.

Mungkin ada yang berpendapat SBDJ sebuah dongeng di zaman moden yang sengaja diadda-adakan. Mungkin ada yang tidak beranggapan sedemikian. Walau apa pun terpulanglah kepada diri masing-masing.

Sesungguhnya syaitan dan iblis telah wujud lebih awal dari manusia dan berazam untuk menjahanamkan anak Adam. Kerana manusia itu makhluk Allah yang teristimewa, Allah memberikan kekuatan kepada manusia untuk menghalang perbuatan syaitan dan iblis terhadap manusia dengan kekuatan iman dan takwa.

Tanpa iman dan takwa, manusia akan jadi hamba syaitan dan iblis. Inilah gambaran yang dijalin oleh TJ dalam SBDJ yang secara tidak langsung mengajak pembaca berfikir untuk mencari sesuatu yang baik agar menjadi manusia sempurna mengkagumi dan menghayati kebesaran Allah. 

Synopsis 2 
Manusia memang mempunyai naluri yang besar untuk mengetahui kisah pengalaman orang. Mereka bagaikan mendapat nikmat yang tersendiri ketika mendengar dan membacanya.

Sesungguhnya, orang yang mahu mempergunakan akalnya akan mengambil pelajaran dari pengalaman yang dialami oleh orang lain.

Bertolak dari keadaan tersebut, dapat diketahui akhlak yang baik, akibat dari perbuatan manusia, balasan baik dan buruk di dunia. Dapat membezakan jalan yang benar dengan jalan yang tidak benar. Dapat memilih mana yang baik dan yang mana buruk.

Barangkali kerana ciri-ciri itu terdapat dalam Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) karya Tamar Jalis (TJ) membuat siri tersebut tidak jemu dibaca. Bila dibukukan terus menjadi buruan peminat uang terhibur membacanya.

Mungkin ada yang berpendapat SBDJ sebuah dongeng di zaman moden yang sengaja diada-adakan. Mungkin ada yang tidak beranggapan demikian. Walau apapun terpulanglah kepada diri masing-masing. 



1. Bercakap Dengan Jin 
Suatu petang dalam tahun 1960, datuk yang sudah menjangkau usia 57 tahun, membersihkan senapang kampung berlaras satu di anjung rumahnya. Dengan tenang dia berkata pada saya “Kamu usah jadi pemburu.” “Kenapa tok?” Dia tidak menjawab. Datuk terus menimang-nimang senapangnya. Kemudian datuk ambil golok perak. Dia mengasah golok di batu dekat kepala tangga. Dan saya masih menanti jawapan dari datuk. “Aku tak mahu cucu-cucu aku jadi pemburu,” tiba-tiba datuk bersuara. Dia duduk di anjung rumah kembali. Mendengar cakapnya itu saya buat keputusan tidak akan mengajukan sebarang pertannyaan padanya. Datuk mudah naik darah, kalau selalu ditanya atau disoal. Dia juga tidak suka orang membangkang cakapnya, terutamanya dari anak-anak cucunya sendiri.

Datuk memang handal memburu. Tidak ramai orang kampung Mandi Upeh macam datuk. Cukup asyik dengan kegemaran memburunya, hampir seluruh hutan Jajahan Dinding dijelajahnya. Orang-orang kampung menganggap datuk bukan pemburu sebarangan. Pemburu yang ada isi, kalau tidak masakan dia berani masuk ke dalam hutan yang tidak pernah didatangi oleh manusia. Datuk tidak menembak sebarangan pada binatang-binatang buruannya. Dia akan memilih tepat dikening diantara kedua-dua kening binatang itu. Dan setiap kali datuk masuk ke hutan dia akan memulakan langkah kaki kiri dahulu. Kedua belah tumitnya tidak memijak bumi, kecuali sesudah lima tapak melangkah. Lepas itu datuk berhenti dia membaca sesuatu, lalu mematah ranting kayu yang berada di bawah ketiak kanannya. Dilemparkannya sebelah kiri.

Datuk dapat senapang bukan kerana dia HomeGuard atau AP. Dia minta sendiri pada kerajaan dengan alasan mahu menjaga tanahnya yang seluas lima belas ekar yang ditanam dengan getah, durian dari serangan monyet dan babi hutan. Pemintaan datuk dipenuhi oleh Inggeris, sesudah pegawai polis, tuan DO serta penghulu dan ketua kampung memeriksa tanah datuk. Datuk beli senapang dari Taiping dalam tahun 1949. Sejak itulah datuk giat memburu dengan senapang. Sebelum itu datuk hanya berburu dengan membuat jerat dan sebagainya. Banyak perkara-perkara aneh yang datuk lalui sepanjang kariernya. Dan saya antara cucu yang selalu mendengar cerita-cerita datuk itu, kerana saya selalu menolongnya mencangkul di kebun, kadang-kadang menjadi temannya ke surau. Datuk terlalu sayangkan saya, kerana saya adalah cucu lelakinya yang pertama dari anak sulungnya iaitu ibu saya. Saya tahu apa kelemahan datuk dan kegemarannya. Dia pemurah dan suka mendengar orang mengaji Quran, kebetulan pula saya cucunya yang agak terkenal membaca al-Quran di kampung itu. Datuk tidak kedekut mengeluarkan wangnya untuk memberikan pada orang mengaji tapi datuk tidak memberikannya sendiri melainkan melalui saya.

Biasanya, kalau datuk suruh beri sepuluh ringgit, saya hanya memberikan separuh saja, yang separuh lagi masuk saku saya. Pernah datuk bercerita pada saya: Suatu ketika datuk dan kawan-kawannya masuk hutan dekat dengan Gunung Tunggal di Kawasan Segari berhampiran dengan Pantai Remis. Kawasan itu tidak pernah dimasuki oleh manusia. Datuk dan kawan-kawannya berjaya menembak beberapa ekor binatang. Kerana terlalu asyik memburu, tanpa disedari datuk telah terpisah dengan seekor rusa besar. Datuk mengikutnya dengan teliti. Datuk memintas rusa itu sebelah kiri dan mengambil tempat di sebalik pokok besar. Datuk menghala muncung senapang pada kepala rusa. Dia yakin sasarannya akan tepat pada tempat yang dimahunya. Tetapi rusa itu bagaikan mengerti dan mempunyai pengalaman. Dia mempermainkan datuk, macam mempermainkan kucing. Rusa merendahkan badannya kemudian menyelinap di depan datuk dan terus hilang.

Datuk terkejut dan bercampur hairan, tapi datuk bukanlah manusia yang mudah putus asa. Dia mencari kesan jejak rusa itu. Diperhatikannya ke arah mana tapak rusa itu lari. Dia mencium daun-daun kering yang terdapat di situ. Akhirnya, datuk merapatkan telinganya dengan bumi. Dia mengeluh, ternyata kesan rusa itu sukar diperolehinya. Waktu datuk berpusing-pusing di situ, seekor rusa lain muncul di depan datuk. Rusa itu jauh lebih besar dan tegap dari rusa yang pertama tadi. Matanya berkilau-kilau bagaikan menentang mata datuk yang terbeliak kerana terkejut. Datuk tidak melepaskan peluang dan terus melepaskan tembakan. Datuk gembira, tembakannya tepat mengenai kening rusa itu. Dia mencabut golok perak di tangan untuk menyembelih rusa. Golok ditayangkan di depan matanya. Datuk membaca sesuatu dan menghentakkan ulu golok ke tanah.

Bila datuk memulakan langkah. Rusa itu segera bangun. Di depan mata datuk sekarang wujud dua ekor rusa. Serentak dengan itu dada datuk berdebar. Dia mula terasa ada sesuatu yang kurang baik akan terjadi. Datuk terdengar kokok ayam hutan. Datuk melepaskan tembakan. Kena pada salah seekor rusa itu di kening. Rusa itu rebah dan bangun kembali menjadi tiga ekor. Datuk yakin ada sesuatu kejadian yang lain di sebalik semuanya itu. Tapi, datuk bukannya manusia lemah semangat, kalau tidak masakan dia berani meninggalkan kampung halamannya di Aceh, berperahu ke Pengkalan Bharu dan bermukim di kawasan Bruas. Datuk terus menembak bertalu-talu. Rusa terus menjadi tiga,empat,lima,enam dan tujuh. Kokok ayam hutan bertambah nyaring.

Daun-daun hutang di keliling datuk bergerak-gerak bagaikan digoncang orang. Tanah yang dipijaknya jadi bersih tanpa sehelai daun. Datuk menumbuk tanah dengan tangan kiri. Dirasa daging pangkal lehernya bergerak-gerak. Datuk senyum. Dia tahu perkara ini mesti dihadapi dengan cara lain. Dia teringat pesanan arwah neneknya dari tanah seberang, kalau berburu binatang dan terasa daging pangkal leher bergerak, alamatnya yang diburu bukan binatang lagi, tapi boleh jadi penunggu hutan atau syaitan dan orang bunian. Datuk letakkan senapang atas tanah. Dia duduk bertafakur mengumpulkan tenaga batin sambil membaca mentera yang diamalkannya. Melalui pancaindera batin datuk, datuk dapat melihat dengan jelas, bahawa rusa itu adalah jin penunggu hutan itu.

Muka datuk jadi merah padam, merecik peluh, gigi dilagakannya rapat-rapat. Mata datuk tidak berkelip. Dia melihat di depannya, terdiri lembaga berbadan besar, matanya merah menyala, rambut panjang sampai ke tumit. Giginya besar, dua giginya di sebelah kiri dan kanan terjulur keluar, macam gading gajah. Dia diapit oleh enam jin yang sama hebat dengannya.

“Kurang ajar, manusia laknat,” suara itu bergema, daun-daun hutan bergerak macam ditiup angin.

Datuk diam bertafakur.

“Kau tahu kesalahan kau manusia ?” Tambah suara itu . Belakang datuk terus dibasahi peluh. Datuk diam, dia sudah pun menutup lubang-lubang kelemahan tubuhnya dengan ilmu batin yang dipusakainya dari arwah neneknya, hingga jin itu tidak berpeluang menyatukan dirinya ke dalam tubuh datuk.

“Tidak,” jawab datuk dengan berani.

“Kau masuk ke dalam kawasan larangan ku.”

“Aku sudah meminta kebenaran.”

“Aku tidak membenarkan.” Jawab jin itu dengan keras. Dua batang giginya yang terjulur bergerak-gerak.

“Kalau kau tidak membenarkanya, kenapa kau tidak memberi isyarat, masa aku masuk tadi.” Cukup tenang datuk menjawab. Dia sudah bersedia menghadapi semuanya.

“Kau manusia biadap,” pekik jin itu, pokok hutan bergerak-gerak.

TAMAR JALIS




Tamar Jalis atau nama sebenarnya Ahmad @ Mohd.Radzi bin Mahmud telah menghasilkan lebih 284 Siri Bercakap Dengan Jin(SBDJ),16 daripadanya sudah dibukukan dan jualannya menurut suatu kajian Prof.Adnan Nawang melebihi sejuta naskhah.Hal ini memperlihatkan sambutan meluas pembaca terhadap siri novel itu yang sudah bermula sejak tahun 1981 hingga 2005.
Jualan hingga lebih sejuta naskhah siri novel SBDJ membuktikan karya itu lebih banyak terjual berbanding mana-mana buku Sasterawan Negara yang pernah diterbitkan sehingga kini.Jualan besar SBDJ termasuk naskhah cetak rompak menunjukkan pembaca daripada pelbagai bangsa di Malaysia menggemari SBDJ yang mempunyai resipi tersendiri,teknik penulisan kreatif tertentu dan strategi tersendiri memikat pembaca .

Di samping itu strategi jualan SBDJ yang mudah diperolehi sama ada di kedai besar ,kecil,pasar , malam, kedai mamak,Cina dan sebagainya yang merakyat sifatnya memudahkan pembaca memperolehinya untuk dibeli dan dibaca.Hal ini secara tidak langsung mencetuskan fenomena dan budaya membaca yang positif di kalangan rakyat Malaysia.

Generasi pembaca Malaysia era 1980-an,1990-an dan 2005 kebanyakannya pernah membaca siri novel SBDJ atau mengikuti siri ini dalam majalah Variasari terbitan Variapopo Group.Malah ada segelintir mereka masih memiliki koleksi Siri Novel Bercakap Dengan Jin karya Tamar Jalis yang diterbitkan dalam pelbagai versi dan ilustrasi kulit depannya untuk menarik perhatian pembaca meskipun kisahnya bukanlah sekadar kisah tentang makhluk jin atau yang sejenis dengannya tetapi disulami dengan ilmu perubatan tradisional Melayu, sejarah, ilmu persilatan, psikologi Melayu,kosmologi Melayu,perbomohan Melayu dan petua-petua untuk memerangi dan menewaskan iblis dan syaitan daripada menganggu manusia.

Tamar Jalis adalah nama samaran penulisnya yang diambil daripada satu nama jin yang terdapat dalam Hikayat lnderaputera yang terkenal dalam kesusasteraan Melayu tradisional.Penggunaan nama Tamar Jalis memang sesuai dengan penulisan Siri Bercakap Dengan Jin(SBDJ) hingga kebanyakan pembaca tidak menyedari nama sebenar penulis yang sudah berusia 71 tahun ini dan masih sihat walafiat.

Tamar Jalis atau nama sebenarnya Ahmad @ Mohd.Radzi bin Mahmud dilahirkan pada 13 September 1940 di Kampung Batu 36,Jalan Sitiawan,Beruas, Perak.Beliau mendapat pendidikan Melayu dan lnggeris serta Sekolah Rendah Teknik,Ipoh(bahagian tukang kayu dan binaan).

Dalam sejarah hidupnya, beliau pernah menjadi buruh,berniaga, pemberita bebas dan kerani pengedar akhbar Utusan Melayu(1970) dan pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Editor kumpulan majalah Variapop Group sebelum

bersara dan kini menetap di Kuala Lumpur.Be liau juga pernah berkhidmat dalam tentera Wataniah antara tahun 1964 hingga 1966.

Tamar Jalis atau Ahmad @Mohd.Radzi Mahmud mula menceburkan diri dalam dunia penulisan sejak tahun 1955,melalui Utusan Kanak-kanak dan Tunas,tetapi cerpen dewasanya yang pertama tersiar dalam majalah Mutiara pada tahun 1958 berjudul “Berhari Raya di Kampung”.

Di samping menulis Siri Novel Bercakap Dengan Jin(SBDJ) yang tersohor dalam sejarah kesusasteraan Melayu itu ,beliau juga menulis novel dan cerpen. Cerpen-cerpennya tersiar dalam pelbagai majalah seperti Dewan Bahasa, Dewan Sastera,Dewan Masyarakat , Mastika dan Widya, dan akhbar-akhbar Berita Minggu, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan Watan.

Dua buah cerpennya “Menanti Ayah”(1971) dan “Samad Toja” (Mingguan Malaysia, 26 Mei 1974) memenangi Hadiah Karya Sastera pada era tersebut yang memperlihatkan kekuatan dan ketinggian mutu cerpen karya Ahmad Mahmud atau Tamar Jalis itu sendiri. Cerpen “Samad Toja” termuat dalam Antologi Hadiah Karya Sastera 1974 terbitan DBP(1976) iaitu di halaman 43 hingga 51.

Panel Hadiah Karya Sastera(1974) antara lain menyebutkan “Samad Toja” menceritakan kisah seorang tua yang memegang teguh kepada kepercayaan terhadap kuburan datuknya yang dianggap keramat.Dan ini didramakan dalam satu situasi di mana kekolotan watak ditimbulkan dengan jelas.Samad Toja sanggup mati kerana mempertahankan kepercayaannya.Cerita diselesaikan secara ironis dengan Samad Toja terselamat sedangkan pemuda yang cuba menyelamatkannya mati menjadi korban di suraunya.”

Tiga buah cerpennnya iaitu “Jaril,Jangan Tinggalkan Emak” (Dewan Bahasa, September 1973),” Paman”(Dewan Sastera, Januari 1977) dan “Cincin Berlian Bermata Dua”(Dewan Sastera,April 1980) dimuatkan oleh Hamzah Hamdani dalam buku selenggaraannya Di Bawah Bayang Kemboja terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1981).

Tuah menyebelahi Ahmad Mahmud bila cerpennya “Paman” dan cerpen- cerpen pengarang lain yang termuat dalam antologi Suatu Subuh Yang Bening selenggaraan Othman Puteh dan Ramli Isin terbitan Fajar Bakti Sdn.Bhd. terpilih dan menjadi teks kesusasteraan Melayu peringkat SPM pada era persekolahan tahun 1980-an dan menjadi bahan kajian pelajar untuk lulus peperiksaan SPM.

Di antara novel Ahmad Mahmud ialah Pucuk-pucuk Yang Mati(1967), Lorong-lorong Hitam (1969) dan Rumah Urut(1970).

Hamzah Hamdani dalam ulasannya ada menyebutkan “Walaupun novel-novel Ahmad Mahmud cenderung mengemukakan persoalan-persoalan seks,tetapi dalam perkembangannya kemudian, melalui cerpen-cerpennya,beliau telah mengemukakan persoalan-persoalan kehidupan manusia yang lebih serius.Ahmad Mahmud sering melukiskan jiwa manusia yang gigih menghadapi hidup walaupun akhiran cerita-ceritanya sering menyayat hati.”(1981:44).

Ahmad @ Mohd.Radzi Mahmud menerusi nama samarannya Atma A.M menulis novel-novel bercorak percintaan dan kemasyarakatan berjudul Bukan lmpian Hati setebal 126 halaman terbitan Variapop Group(Kuala Lumpur) pada tahun 1987.Beliau kemudiannya menulis novel Bukan Impian Hati(2) dengan mengguna- kan nama Atma A.M setebal 111 halaman terbitan Variapop Group (Kuala Lumpur)
pada tahun 1988.

Beliau kemudiannya meneruskan penulisan novel bercorak percintaan dan kemasyarakatan dengan menggunakan nama samaran Ramadhan A.M menulis novel Kasihku,Sewangi Cempaka setebal 127 halaman(1988) dan Kukirim Rindu Untukmu setebal 127 halaman (1988) terbitan Variapop Group,Kuala Lumpur.

Pada bulan April 1985 hingga Januari 2005 iaitu selama 23 tahun enam bulan,,beliau mula menggerakkan penulisan novel Siri Bercakap Dengan Jin(SBDJ) dalam majalah Variasari untuk meningkatkan jualan majalah itu dan mencipta rekod sebagai siri novel terpanjang di Malaysia, Asia Tenggara dan sekali gus dunia antarabangsa menggunakan nama samaran Tamar Jalis yang mempunyai sejumlah pembaca dan peminatnya yang tersendiri di negara ini. Pada era 1980-an, majalah Variasari pernah dicetak 120,000 naskhah sebulan kerana wujudnya siri SBDJ itu sebelum beransur menurun kini.

Salah satu siri atau buku novel SBDJ sewajarnya diangkat menjadi teks KOMSAS musim yang akan datang untuk membolehkan pelajar generasi baru mempelajari dan mengetahui pelbagai ilmu dunia Melayu yang terungkap dalam buku itu.Hal ini lebih bererti sebagai menghargai sumbangan besar Tamar Jalis dalam dunia kesusasteraan dan penulisan di samping membantu ekonomi penulisnya berbanding pujian semata-mata.

Menurut Zabidin Hj lsmail ,Presiden Persatuan Karyawan Perak,”Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) karya Tamar Jalis adalah siri cerita kreatif Melayu yang terbanyak dan paling lama bersiaran dalam sebuah majalah tempatan. Sebanyak 221 siri telah dibukukan dengan pelbagai tajuk dan paparan corak kulit yang menarik lagi menyeramkan,termuat dalam 16 buah buku.Sebuah buku SBDJ mengandungi kira-kira 24 siri. Namun demikian terdapat sebanyak 63 siri iaitu siri 222 hingga 284 belum lagi dibukukan.”

Dengan tema “Memperkasakan SBDJ Sebagai Karya Kreatif Melayu Tersohor” telah diadakan Wacana Siri Bercakap Dengan Jin pada 20 Jun 2011 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak,Jalan Raja Di Hilir, lpoh, Perak.

Wacana anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak,Yayasan Perak dan Persatuan Karyawan Perak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak telah menampilkan pembentangan sepuluh buah kertas kerja menarik yang mengangkat dan mengiktiraf sumbangan besar SBDJ karya Tamar Jalis dalam dunia kesusasteraan.


Penulis karya kreatif seram popular, Tamar Jalis kali pertama memperkenalkan diri selepas 30 tahun 'menyembunyikan' identitinya daripada pengetahuan jutaan peminat karya seram, Siri Bercakap Dengan Jin (SBJD).

“Secara peribadi saya tidak mahu dikenali ramai kerana tujuan sebenar saya menulis siri itu untuk dihayati oleh pembaca dan bukan untuk meraih publisiti daripada peminat, tetapi seorang rakan memujuk memandangkan karya saya sudah diiktiraf sebagai khazanah.
"Lagipun, wacana ini diadakan di negeri kelahiran saya dan terpanggil untuk mengikutinya. Saya sendiri terkejut dan teruja selepas melihat ramai peminat SBDJ hadir memberi sokongan pada wacana ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Wacana SBDJ - Memperkasakan SBDJ Sebagai Karya Kreatif Melayu Tersohor', di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, di Ipoh, baru-baru ini.
Majlis berkenaan disempurnakan, Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin serta turut dihadiri isteri Mohamad Radzi, Maznah Mohd Isa, 63.

Beliau yang nama sebenarnya, Mohamad Radzi@Ahmad Mahmud, 73, berasal dari Beruas mengakui sebelum ini ramai yang memujuknya memperkenalkan diri sebagai Tamar Jalis, tetapi enggan berbuat demikian.

Sebanyak 284 siri SBDJ disiarkan dalam majalah Variasari terbitan Variapop Group sepanjang 23 tahun enam bulan, bermula April 1981 hingga Januari 2005 dan digarap dalam bentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya, Kulup Muhamad Diah@Long Mat Piah.

Percetakan semula siri itu bakal dikeluarkan pada September ini dengan 50,000 naskhah dicetak sebagai permulaan, selain bakal muncul dalam versi Bahasa Inggeris tahun depan untuk pasaran luar negara.
Beliau berkata, karya SBDJ itu bukan digarap sembarangan, sebaliknya 60 peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupun remaja.

Selain dikenali sebagai penulis siri seram terkenal, beliau turut mengakui menjadi buruan pembaca kerana menyangkakan dirinya sebagai seorang pengamal perubatan tradisional.

"Ramai yang ingin mengenali Tamar Jalis kerana inginkan 'sesuatu' atau berubat dengan saya. Namun, hakikatnya saya bukan seorang pengamal perubatan tradisional seperti disangka ramai," katanya.

Zainol Fadzi ketika menutup wacana terbabit mengingatkan khalayak bahawa Kerajaan Negeri Perak menghargai program anjuran Persatuan Karyawan Perak bersama JKKN kerana ia satu daripada usaha untuk memartabatkan karya Melayu khususnya yang ditulis anak Perak.

"SBDJ berjaya mencipta rekod tersendiri di Malaysia apabila diangkat sebagai karya bersiri paling panjang dan paling lama bertahan di negara ini. Ia sewajarnya diangkat sebagai khazanah berharga di Perak.